Friday, March 25, 2011

~**~Banyak ketawa buat hati mati~**~

SUKA dan duka menjadi asam garam kehidupan. Setiap insan sering
dihadapkan dengan pelbagai keadaan hidup yang memerlukan tindakan
mental dan fizikal tertentu.

Menangis dan hiba sering dikaitkan dengan kedukaan dan penderitaan,
manakala ketawa selalunya menjadi manifestasi keriangan dan kepuasan
yang tidak semua insan dapat merasainya.

Islam tidak pernah melarang umatnya untuk melahirkan rasa
kegembiraan dan kepuasan hati mereka dengan ketawa. Namun, sebagai
agama syumul dengan pelbagai adab dan disiplin, maka syariat tetap
membataskan tahap ketawa yang dibenarkan.

Ini bagi mengelakkan orang Islam dipandang rendah martabatnya oleh
bukan Islam.

Menyingkap sirah Rasulullah ketika Baginda hebat melancarkan misi
dakwah melalui jihad perang selepas hijrah ke Madinah, Allah
menempelak sebahagian tentera munafik yang pada mulanya menyatakan
persetujuan untuk bersama-sama Rasulullah di medan peperangan,
tetapi membatalkan janji dan persetujuan mereka pada saat-saat
genting tentera Islam bakal bertarung dengan kekuatan tentera
Musyrikin Quraisy dalam Perang Uhud.

Berikutan peristiwa itu, Allah berfirman yang bermaksud : "Maka
hendaklah mereka tertawa sedikit dan menangis dengan banyak." (Surah
at-Taubah, Ayat 82).

Jelas daripada mafhum ayat ini, Allah mengungkapkan sifat lazim kaum
munafik yang selalunya suka mengamalkan tabiat ketawa berlebihan.

Justeru, jika begitulah sikap mereka, maka sebagai umat Islam, kita
harus segera membuang sikap sedemikian.

Sedih, murung, riang, gembira dan ketawa adalah sentuhan naluri
semula jadi, tetapi Islam tetap menghadkannya untuk mengelaknya
berlaku dalam keadaan melampau.

Lantaran itulah, walaupun berada dalam apa juga keadaan hidup yang
akhirnya menuntut diri seseorang secara spontan berada dalam keadaan
yang sesuai dengan apa yang dialami dan dirasai, Islam menyediakan
pilihan lain yang boleh diguna pakai bagi mengelak daripada
bertindak di luar batasan kemanusiaan apabila hati dan perasaan
bertindak balas dengan apa yang dialami.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Dan janganlah kamu banyak
ketawa kerana banyak ketawa itu mematikan hati." (Riwayat Ahmad dan
at-Tirmizi).

Jika dihayati maksud hadis ini, sewajarnya setiap insan mukmin
segera menginsafi diri untuk tidak menjadikan ketawa sebagai
perantara untuk menzahirkan perasaan tersendiri dengan cara
berlebihan. Hal ini kerana dibimbangi boleh membawa kepada beku dan
matinya hati.

Hati adalah ejen penggerak utama sahsiah dan keperibadian seseorang.
Justeru, jika hati sudah tidak lagi berfungsi dalam erti kata


menjadi petunjuk dan pemandu arah manusia untuk meneruskan kembara
hidup ini, maka sudah tentu tidak ada sedikit pun manfaat dan
ganjaran yang diperoleh kerana pergerakan fizikal tidak lagi
berpandukan arahan hati yang murni.

Hati adalah pemerintah dalam diri setiap manusia. Jika baik dan
bersih hati seseorang, maka akan baiklah seluruh anggota zahir
seseorang dalam melakukan apa juga tindakan dalam hidup seharian.

Sebaliknya, jika buruk dan rosak sebuku hati itu, maka akan rosaklah
segala anggota asas dan pancaindera manusia apabila melakukan
tindakan tertentu dalam hidup ini.

Apabila hati sudah mati, maka akan mudahlah syaitan hakiki dan
syaitan nafsu merajai diri dan akhirnya akan membawa diri ke lembah
hina dan menyeleweng daripada landasan kebenaran.

Begitu juga, akan terbentuklah kelompok manusia yang alpa dengan
fungsi dan tanggungjawab asal manusia sebagai khalifah di bumi
Allah.

Sesungguhnya, hati berperanan besar menjadi penghubung kepada jiwa
dan perasaan manusia untuk mentazkiah (menyucikan) diri melalui
bisikan zikir dan doa, yang mana dengan cara itulah, manusia boleh
mendekatkan diri dengan yang maha pencipta dan menyemai rasa takut
untuk melakukan sesuatu yang bercanggah dengan suruhan agama.

Jika hati sudah mati, maka akan runtuhlah keperibadian manusia
secara keseluruhannya. Hal ini kerana, pada ketika itu, keunggulan
ciri-ciri manusia sejati yang lahir dengan kedudukan dan
tanggungjawab di alam fana ini akan terabai.

Perlu juga disedari, bahawa pada ketika hati itu sudah rosak, maka
sesuatu yang akan binasa ialah maruah diri.

Individu itu tidak mampu lagi memandu dan membela maruah hidupnya
iaitu kehormatan diri kerana proses untuk memantap dan menghidupkan
darjat diri sudah tidak berfungsi lagi.

Saidina Umar al-Khattab pernah berkata, seseorang yang banyak ketawa
nescaya akan kurang rasa takutnya kepada Allah. Apabila rasa
takutnya sudah berkurangan, maka akan kuranglah taatnya kepada
Allah.

Suatu ketika, Rasulullah berjalan di depan sekumpulan orang yang
sedang ketawa, lalu Baginda bersabda yang bermaksud: "Demi Tuhan
yang jiwaku ini berada dalam genggaman-Nya. Jika kamu semua tahu apa
yang aku tahu, nescaya kamu banyak menangis dan sedikit ketawa."
(Riwayat Bukhari dan Abu Hurairah).

Dalam hadis lain, Rasulullah mengingatkan kita banyak ketawa dengan
sabda Baginda yang bermaksud: "Terlalu banyak ketawa itu boleh
menghilangkan cahaya daripada wajah kita."

Ketawa yang sudah sampai ke tahap berlebihan, maka ia lebih
mengundang perkara negatif daripada yang positif.

Orang banyak ketawa akan lebih suka membiarkan masa berlalu tanpa
diisi dengan sesuatu bermanfaat. Bukan itu saja, kadang-kadang,
banyak ketawa boleh melupakan manusia daripada mengingati mati dan
himpunan dosa yang menimbun dalam diri.

Apabila lupa kepada mati, manusia akan lupa membuat persiapan menuju
ke alam abadi kerana terlalu leka dengan keindahan, kekayaan,
keseronokan dan kegembiraan yang tidak lebih hanya bersifat
sementara.

Orang banyak ketawa akan banyak membawa kepada kelalaian memikirkan
tugasan dan amanah yang perlu dilaksanakan sebagai khalifah, ketua,
ayah dan pemimpin dalam dunia.

Abdullah bin Abi Yu'la pernah berkata: "Adakah kamu masih bergelak
ketawa sedangkan kain kafanmu sudah pun dikeluarkan dari istana
Allah."

Justeru, bermuhasabah diri adalah jalan paling terbaik dilakukan
sepanjang masa agar tidak terlalu leka dengan keseronokan dan
keriangan yang dinikmati di dunia.

Ini kerana, ia adalah suatu dugaan daripada Allah kepada hambanya
beriman. Di samping itu, kita digesa supaya menilai keperibadian
sendiri pada setiap waktu agar dapat mengenal pasti setiap kelemahan
dan kesalahan sama ada sengaja atau tidak.

Kita juga diminta tidak mudah berpuas hati dan leka dengan
pencapaian tersendiri, dan akhirnya menjadikan ketawa sebagai teman
kepada keseronokan.

Benarlah ada kata-kata yang menyebut bahawa orang yang banyak ketawa
akan banyak menangis kemudian. Hal ini kerana, manusia celaka di
dunia yang banyak ketawa bukan saja tidak akan mampu ketawa dalam
azab Allah, bahkan tidak akan mempunyai masa untuk mengukir senyum.

Sebaliknya, akan dihiasi dengan jeritan dan tangisan yang
menghibakan. Abdullah Ibn Abbas pernah berkata, sesiapa melakukan
perbuatan dosa dan kemudian ketawa, nescaya akan dimasukkan ke dalam
neraka dengan tangisan.

Sekali lagi ditegaskan bahawa Islam tidak pernah melarang umatnya
untuk ketawa, tetapi biarlah di atas landasan syariat yang
sederhana. Hal iIni kerana, kita tidak dapat mengelakkan sesuatu
yang semula jadi tercipta.

Semoga kita akan sama-sama berusaha mengawal diri daripada
menyebabkan hati mati kerana apabila ia berlaku. Maka akan hilanglah
kenikmatan hidup untuk menjadi mukmin yang beriman kepada Allah.

No comments:

Post a Comment