Wednesday, March 23, 2011

Ketika Aku Sujud

Ketika aku tunduk, sujud kepadaNya, aku menyerahkan seluruh diriku dan seluruh perasaanku. Betapa aku menyedari, tanpaNya tiadalah aku hadir ke dunia ini. Dunia yang terlalu banyak mengajar aku erti kehidupan, erti kesabaran malah menjadikan aku lebih sedar dimana aku berpijak ketika ini, di bumi yang nyata ini...

Tuhanku, kau turunkan aku pelbagai bentuk dugaan, datangnya silih berganti
kau kurniakan aku perasaan, suka, duka, kasih sayang malah nafsu. Ah...yang mana ye aku harus utamakan? yang mana harus aku jadikan pilihan? mampukah aku memperolehi semua itu tanpa membuat pilihan? Namun rasanya tak mungkin..bukankan hidup perlukan pengorbanan. Demi kasih sayang, kuketepikan perasaan walaupun sememangnya aku yang menjadi korban.

Tapi...bukankah itu semua ujian, bukankah itu semua dugaan. Apa makna sebuah penghidupan tanpa ujian. Sedangkan Nabi sendiri menerima pelbagai ujian dari Tuhan, maka siapakah aku manusia yang mahukan kesempurnaan tanpa melalui onak-onak kehidupan. Tanpamu Tuhan aku mungkin telah lama kecundang. Disaat aku hampir karam, disaat aku hampir tenggelam namun kau hulurkan aku cahaya iman agar dapat ku kuatkan pegangan.

Inilah namanya pengalaman, inilah juga perjalanan, yang pastinya harus ku teruskan demi memperjuangkan kehidupan untuk menjadikan aku insan yang lebih matang dan untuk aku lebih mengenalimu. Maka Tuhanku ...berilah apa sahaja dugaan tetapi kurniakan aku keyakinan, aku pohon kekuatan iman supaya mampu berdiri di landasanmu, pimpinlah aku bersamamu agar aku tidak menyimpang dari jalanmu.

Kini...ketika aku sujud aku hanya meyakinimu, aku adalah kepunyaanmu, maka ku serahkan diriku kerana engkaulah Tuhanku. Tanpa dugaanmu, aku tak mungkin "jumpa" siapa aku, aku mungkin tidak sedar dari mana datangnya aku. Pimpinlah aku ke jalanmu dan janganlah kau balikkan hatiku setelah kau berikan aku petunjukmu...

No comments:

Post a Comment